SEBERANG PERAI – Kementerian Kesihatan (KKM) menumpaskan rangkaian sindiket pemprosesan ubat tradisional haram bernilai lebih RM24 juta menerusi serbuan ke atas 19 premis di sekitar Pulau Pinang, hari ini.
Dalam operasi itu, lima lelaki berusia antara 34 hingga 60 tahun termasuk dua warga asing ditahan.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, sindiket dikesan menghasilkan dan mengedar produk ubatan tradisional Cina yang tidak berdaftar serta melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.
“Hasil pemeriksaan di 13 premis, kita merampas lebih 88,000 unit ubat tradisional tidak berdaftar dan lebih 500 bungkusan bahan mentah yang disyaki mengandungi racun berjadual.
“Turut disita lebih 23,000 produk separa siap, dua unit peranti digital serta 36 unit mesin, dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM24 juta,” katanya pada sidang akhbar di Simpang Ampat, di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati beberapa produk mengandungi bahan berbahaya yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952, antaranya steroid, penisilin dan allopurinol.
“Antara produk ubatan tradisional Cina yang dirampas termasuk ubat tahan sakit, ubat gout dan produk kesihatan lain.
“Produk-produk ini dipercayai dipasarkan di pasaran tempatan termasuk kedai ubat Cina, selain sebahagiannya dieksport ke luar negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE














