fbpx
Suhaili (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan melakukan tuntutan palsu. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

Arkitek Penguasa JKR dituduh buat tuntutan perjalanan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang Arkitek Penguasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan elaun perjalanan palsu, dua tahun lalu.

Tertuduh, Suhaili Othman, 55, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Tertuduh sebagai Arkitek Penguasa J52 didakwa mengemukakan tuntutan elaun perjalanan bagi Jun 2024 untuk menghadiri Mesyuarat Arkitek JKR Malaysia 2023 di sebuah resort di Ayer Keroh, Melaka antara 11 Jun hingga 14 Jun 2024 berjumlah RM894.50 dengan menggunakan kenderaan sendiri, sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.

Dia didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu untuk mengelirukan prinsipalnya dengan perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Arkitek JKR Kedah, di sini pada 8 Julai 2024.

Suhaili juga didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan tuntutan elaun perjalanan bagi Julai 2024 iaitu menghadiri sesi perbincangan bersama Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat pada 15 dan 16 Julai 2024 berjumlah RM600 melalui tuntutan gantian kapal terbang dengan menggunakan kenderaan sendiri, sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi sama pada 5 Ogos 2024.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atika Ab. Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam, Yusmadi Yusoff dan Durratul Ain Mahmud Morshidi.

Terdahulu dalam prosiding, Nurul Atika mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 berserta syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dalam kes itu.

Yusmadi bagaimanapun memohon jaminan yang tidak membebankan tertuduh dan pada masa sama memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya telah berkhidmat selama lebih 22 tahun.

“Dalam perkhidmatan, beliau pernah dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sehingga kejadian ini (didakwa) berlaku. Dia mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan isteri tidak bekerja,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 4 Mac depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI