fbpx
Amirudin pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor Selangor di Shah Alam. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Ternak babi: Selangor batal sementara, cari ‘rumah babi’ baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membatalkan sementara cadangan pembangunan ladang babi berskala baharu di Bukit Tagar bagi mencari lokasi alternatif yang sesuai bagi penternakan moden berkaitan haiwan tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini telah mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim mencari lokasi baharu kerana wujud penentangan kuat terhadap kawasan yang dicadangkan.

“Sebenarnya sebelum Perdana Menteri memaklumkan kepada kita pada Rabu, MMKN telah mengarahkan supaya alternatif kawasan dicari kerana kita melihat ada bantahan keras di Bukit Tagar.

“Kemudian diikuti cadangan Perdana Menteri yang kita sambut baik. Namun, kita tidak akan memaklumkan lagi lokasi-lokasi alternatif kerana belum ada keputusan muktamad.

“Tak apalah, kita tangguh dan batalkan buat sementara sebelum mendapat tapak alternatif atau kaedah lain menangani permintaan, ” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor Selangor di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, cadangan berkenaan masih di peringkat awal kerana Kebenaran Merancang (KM) belum dikemukakan, namun isu itu seolah-olah digambarkan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Isu ini sebenarnya masih separuh masak. KM belum dihantar, apa pun belum dihantar. Tetapi gambaran yang timbul seolah-olah hendak dipacak semalam atau hari ini.

“Kita belajar daripada perkara ini. Mungkin ada pengumuman yang terlebih awal sedangkan libat urus serta Penilaian Impak Sosial (SIA) perlu dibuat terlebih dahulu,” katanya.

Menurut Amirudin, Perdana Menteri turut menghubunginya ketika beliau berada di luar negara bagi urusan pemukiman sebuah anak syarikat kerajaan negeri
bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Pada hari Rabu, Exco turut membangkitkan isu bantahan keras di kawasan dicadangkan. Saya minta supaya dicari tapak lain yang mungkin lebih sesuai dan kurang sensitif,” ujarnya.

Mengulas cadangan pembinaan fasiliti berskala besar seperti ‘hotel babi’ sebagaimana dilaksanakan di China, Amirudin menegaskan perkara itu tidak akan dilaksanakan di Selangor.

“Tiadalah kita hendak buat begitu. Yang kita hendak tangani mungkin hanya 20 hingga 30 peratus, bukan projek mega dan besar-besaran. Itu melampau.

“Keutamaan kita ialah menutup ladang yang tercemar dahulu. Soal kaedah pelaksanaan, kita akan tangani dan ikut nasihat Perdana Menteri kerana isu ini telah melangkaui realiti sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata perbincangan dengan pengusaha ternakan babi telah berlangsung sejak dua hingga tiga minggu lalu dan akan diteruskan bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara.

“Kita akan menyantuni mereka. Yang penting adalah adil dan melindungi kepentingan semua.

“Jika ada salah faham, kita jelaskan. Kalau ada yang kurang faham, kita tangguh atau batalkan dahulu sementara penerangan dibuat dengan lebih menyeluruh,” jelasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya projek pembangunan ladang babi di Bukit Tagar, yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri perlu dibatalkan bagi mengambil perhatian terhadap keresahan dan kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan.

Tegas Anwar, isu ladang babi yang menjadi kontroversi itu turut dibincangkan bersamaa Jemaah Menteri.

Terdahulu, penduduk lebih 200 penduduk di kawasan Felda Sungai Tengi Selatan, Sungai Tengi, Soeharto dan Gedangsa serta penempatan di Bestari Jaya mengadakan perhimpunan aman membantah pembinaan ladang babi moden di Bukit Tagar.

Rata-rata penduduk lebih mengharapkan fasiliti kesihatan termasuk hospital yang lebih baik berbanding pembinaan ladang babi.

Malah, bantahan turut ditunjukkan lebih 2,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menentang sekeras-kerasnya sebarang ternakan ladang babi di negeri ini termasuk di Bukit Tagar dengan menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI