PETALING JAYA – Satu iklan penjualan kereta sorong bayi lama yang ditawarkan pada harga RM70 mencuri perhatian ramai dengan keadaannya yang sudah uzur.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Aqilla_zeck, kereta sorong bayi dipercayai keluaran tahun 1960-an hingga 1970-an didakwa masih boleh guna dan pakai.
“Betul ke ni? Adakah ini satu gurauan atau memang harga dia macam ni sebab antik?” katanya menerusi ruang kapsyen.
Lebih mencuit hati, seorang netizen turut mendakwa penjualan kereta sorong bayi lama itu dipercayai menakutkan dan harus dibaik pulih terlebih dahulu.
“Sekurang-kurangnya baik pulih dulu. Buang karat-karat. Ini anak pocong pun tak mahu duduk dalam itu,” komen @Htrx7483.
Perkongsian tersebut turut menarik perhatian ramai dengan rata-rata pengguna cuba bersangka baik dengan penjualan barang tersebut.
“Rasanya harga tak termasuk vaksin sebab itulah murah,” komen @Akmalovback.
“Jujur cakap, rasanya dia jual bukan untuk digunakan tapi untuk pengumpul. Tin milo kosong pun orang jual kalau barang antik,” komen @Mohamad_imran. –KOSMO! ONLINE














