fbpx
Gambar hiasan

Kelemahan yen bantu kukuhkan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Situasi matawang yen Jepun yang melemah minggu lalu sehingga berpotensi mencetuskan campur tangan Amerika Syarikat (AS) antara faktor menyokong pengukuhan ringgit untuk mengatasi paras 4.00 berbanding dolar AS.

Ringgit diniagakan tinggi pada hari ini iaitu RM3.9725 setakat pukul 11.36 pagi, iaitu peningkatan sebanyak 0.84 peratus berbanding Jumaat lalu, paras tertingginya dalam tempoh tujuh tahun.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pihak kerajaan Jepun dan Rizab Persekutuan AS dijangka akan membuat campur tangan dalam pasaran matawang bagi mengukuhkan nilai matawang yen.

“Ini bererti nilai matawang dolar AS dijangka akan terus merosot akibat tindakan ini. Situasi ini jelas kelihatan apabila US Dollar Index (DXY) merosot sebanyak 0.48 peratus kepada 97.131 mata.

“Perkara ini dilihat telah memberi impak positif kepada ringgit kerana matawang ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, faktor domestik seperti asas ekonomi negara yang kukuh dan prospek pertumbuhan positif yang menarik minat para pelabur untuk membeli instrumen kewangan dalam pasaran bon dan ekuiti turut menyumbang kepada pengukuhan ringgit.

“Para pelabur asing dilihat terus mencatatkan belian bersih dalam pasaran ekuiti tempatan pada minggu lalu iaitu RM510.91 juta berbanding RM716. 08 juta pada minggu sebelumnya.

“Dalam pasaran bon pula, pelabur asing mencatatkan belian bersih sekitar RM26 billion pada tahun 2025 berbanding RM4.7 billion pada tahun 2024.

“Kemasukan dana asing dalam pasaran modal menyebabkan permintaan ringgit semakin meningkat dan sekaligus mengukuhkan nilai ringgit,” ujarnya.

Sebelum ini, ramai penganalisis ekonomi menjangkakan ringgit mampu mengukuh kepada bawah paras 4.00 tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN