DALAM riuh dunia hiburan, tidak semua kepulangan hadir dengan sorakan gegak gempita. Ada yang memilih pulang secara perlahan, bersulam tenang, namun sarat makna.
Begitulah langkah terbaharu Mamat, suara ikonik era 1990-an, yang kembali menyapa khalayak bukan dengan laungan besar, sebaliknya melalui getar emosi penuh kejujuran.
Lagu-lagunya pernah menjadi latar cinta pertama, saksi air mata remaja, juga teman setia mereka yang membesar bersama irama Exists namun masa mengajar bahawa kehidupan tidak selalu berjalan lurus.
Ada jatuh, luka dan fasa memerlukan keberanian untuk bangkit semula.
Selepas melalui perjalanan hidup penuh ujian, Mamat kini memilih pendekatan lebih sederhana, namun bermakna menerusi penganjuran Mamat Mekar Showcase, sebuah persembahan berskala kecil yang diraikan sebagai simbol kebangkitan perlahan, jujur dan matang.
Showcase eksklusif tersebut dijadualkan berlangsung pada 13 Februari 2026 di IDEAS Kuala Lumpur Hotel dengan kapasiti terhad kepada 200 penonton, menjadikannya pertemuan istimewa antara artis dan peminat dalam ruang intim.
Ujar pemilik nama sebenar Mohd. Ali Kamarudin itu, keputusan mengehadkan jumlah penonton dibuat dengan penuh pertimbangan demi mencipta suasana lebih dekat dan beremosi.
Dia juga menyifatkan pendekatan kecil tersebut sebagai langkah awal membina semula momentum kerjaya.
“Ini peluang untuk mendekati peminat dan rakan media dalam suasana lebih mesra. Bila ruang kecil, hubungan jadi lebih rapat dan setiap emosi dapat dirasai dengan lebih jujur.
“Walaupun hanya 200 penonton, mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa tidak buat 1,000 atau 2,000. Sebenarnya perancangan awal kami untuk mengeratkan hubungan dengan semua,” katanya.
Ruang intim
Tambahnya, keistimewaan Mamat Mekar Showcase turut terletak pada konsep ‘unplugged’, memberi ruang kepada vokal dan emosi menjadi nadi utama persembahan tanpa elemen berlebihan.
“Peminat tegar memang tahu, semua lagu itu lagu hit. Kita bawakan secara akustik dan santai sambil makan. Kalau lagu terlalu rancak, takut suasana jadi lain pula.
“Saya bakal nyanyikan sekitar lapan hingga 10 buah lagu, merangkumi karya bersama Exists serta solo. Antaranya, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Semakin Ringan, Janji Padamu, Nota Di Lautan Sepi, Janji Bidadari, Untukmu Ibu dan Salju Di Danau Rindu.
“Ada lagu lama yang saya rakam semula, cuma perlu disusun ikut kesesuaian malam tersebut,” ujarnya usai sidang media, baru-baru ini.
Lebih istimewa, ‘showcase’ berkenaan turut menyelitkan aktiviti interaksi bersama peminat termasuk kuiz, ramah mesra serta pemberian cenderahati.
Biarpun kapasiti lokasi mampu memuatkan sehingga 250 penonton, Mamat menegaskan jumlah 200 dipilih secara khusus.
“Kebanyakan masa saya mahu tumpu kepada peminat. Jumpa mereka, bergambar, berbual dan raikan malam itu bersama-sama, bagi saya itu lebih seronok.
“Tapi untuk ini kita buat sangat intimate, buat masa ini, kami kekalkan 200 sahaja. Siapa cepat, dia dapat,” jelasnya.
Mengulas perjalanan seninya kini sebagai artis solo, Mamat mengakui identiti muziknya tetap berakar daripada nostalgia Exists, namun dipersembahkan dengan pendekatan lebih matang.
“Melodi tetap sama, sebab melodi tak boleh diubah. Tetapi warna muzik berbeza.
“Bila ‘unplugged’, bunyi lebih lembut, tenang dan matang. Imej pun jauh berbeza. Zaman dulu baju warna-warni, sekarang semua itu sudah berlalu,” kongsinya yang mula dikenali sebagai vokalis asal Exists sejak 1991 sebelum membawa haluan solo pada 1994.
Solo
Menyentuh keyakinan menarik penonton, bapa tiga anak itu percaya kekuatan sebenar terletak pada emosi dan memori.
“Peminat yang membesar sekitar tahun 1991 mungkin ada kenangan tersendiri. Suara saya pun sudah berubah, jadi penyampaian juga berbeza. Ini Mamat pada tahap usia sekarang.
“Sebenarnya mereka mahu buat besar, tetapi saya baru berada bawah pengurusan Mekar. Jadi kami mulakan dengan showcase dahulu. Untuk masa depan, mungkin akan ada skala lebih besar,” dedahnya.
Kini, perjalanan solo Mamat diuruskan sepenuhnya Mekar Management, sebuah pasukan yang ditubuhkan seorang peguam, Azlina Abdul Aziz, bermula sebagai khidmat pro bono sebelum berkembang menjadi pengurusan profesional.
Lebih daripada sekadar status ‘persembahan’, Mamat Mekar Showcase hadir sebagai simbol kesedaran, tanggungjawab serta harapan baharu bahawa seni tidak pernah menutup pintu kepada mereka yang berani kembali dengan hati lebih jujur.














