SUNGAI BULOH – Polis menerima lima laporan berhubung dakwaan kejadian kanak-kanak dipukul di sebuah tadika di Saujana Utama, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, semua laporan itu diterima di Balai Polis Saujana Utama di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara Julai hingga Ogos tahun lalu dan melibatkan empat kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun.
“Polis turut menemukan satu rakaman video yang dipercayai menjadi bukti kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Susulan laporan diterima katanya, polis menahan dua wanita yang merupakan penjaga kanak-kanak di tadika berkenaan hari ini, manakala seorang lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek telah dibenarkan reman selama lima hari oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Hafiz meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu berkaitan kes berkenaan kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan masih diteruskan, sesiapa mempunyai maklumat bersabit kes ini diminta menghubungi Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Syahir Abdul Halim di talian 016-3423258,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE













