BEIJING – Sebuah mahkamah mengarahkan seorang wanita mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka selama 15 hari berturut-turut berhubung beberapa hantaran berbaur sindiran di media sosial yang ditujukan kepada suaminya, lapor portal berita Gulf News hari ini
Hantaran tersebut didapati telah mencemarkan reputasi lelaki itu.
Kes itu berlaku selepas wanita berkenaan berkongsi di internet yang mendakwa suaminya menjalinkan hubungan sulit.
Wanita itu juga mendedahkan maklumat berkaitan tempat kerja dan kehidupan peribadi suaminya.
Menurut portal South China Morning Post, wanita itu dikenali sebagai Niu Na dari wilayah Henan diarahkan memadam semua hantaran berkenaan dan menerbitkan permohonan maaf di internet dengan kandungannya tertakluk kepada semakan mahkamah.
Alasan mahkamah, seperti yang dilaporkan, ialah walaupun wujud salah laku peribadi, ia tidak boleh dijadikan justifikasi untuk mencemarkan reputasi seseorang melalui pendedahan di media sosial.
Kisah itu kemudian tersebar di media sosial China dengan permohonan maaf menjadi tumpuan perbincangan, terutamanya apabila video wanita tersebut mendapat perhatian meluas daripada orang ramai.
Dalam laporan tambahan, portal berita Global Times menyatakan bahawa insiden itu telah menyebabkan majikan suami berkenaan menggantung tugasnya selepas kontroversi tersebut semakin memuncak di alam maya. – AGENSI













