PETALING JAYA – Seorang wanita dipercayai warga Singapura mencetuskan kekecohan apabila didakwa menyembur air mineral yang diminumnya ke arah penumpang lain di dalam sebuah tren MRT, hari ini.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, wanita terbabit dilihat menyembur air dari mulutnya ke arah beberapa penumpang sebelum ditegur oleh seorang wanita lain yang kemudiannya bertindak menahan serta menghalangnya daripada meninggalkan tren.
Difahamkan, wanita yang menegur itu turut mengarahkan pelaku supaya perkara berkenaan dilaporkan kepada pihak polis kerana perbuatan tersebut disifatkan sebagai tidak bermoral dan mengganggu keselamatan awam.
Lebih mengejutkan, beberapa netizen mendakwa insiden itu bukan kali pertama wanita berkenaan bertindak sedemikian, malah pernah mencetuskan masalah sama di lokasi awam lain sebelum ini.
Tindakan wanita tersebut mengundang kecaman hebat netizen yang menyifatkannya sebagai berbahaya dan menjijikkan.
“Ini bukan gurauan. Sembur air dari mulut boleh sebarkan penyakit,” kata seorang pengguna media sosial.
Dalam masa sama, ramai turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir penumpang lelaki yang dilihat hanya berdiam diri ketika kejadian berlaku.
“Ramai lelaki dalam tren tapi semua buat tak tahu. Yang berani ke depan cuma wanita,” tulis seorang netizen.
“Kalau tunggu wanita saja bersuara, sampai bila isu keselamatan awam nak dipandang serius?” komen seorang pengguna lain.- KOSMO! ONLINE
Kejadian di Singapura pic.twitter.com/gqICSYuJ4w
— @ (@anthraxxxx) January 25, 2026














