fbpx
KERJA keras dipamerkan Tang Jie-Ee Wei membuahkan hasil apabila berjaya menghadiahkan gelaran pertama buat Malaysia dalam acara beregu campuran di Indonesia Masters. - SHIDDIEQIIN ZON

Indonesia Masters: Sejarah baharu tercipta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama negara merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta.

Pada perlawanan akhir di Istoran Senayan, Jakarta sebentar tadi, pasangan juara dunia itu mencatat kemenangan 15-21, 21-17, 21-11 ke atas beregu Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam tempoh 56 minit.

Kejayaan dilakar Tang Jie-Ee Wei sekali gus menamatkan penantian Malaysia untuk memenangi Indonesia Masters dalam acara beregu campuran sejak saingan Jelajah Dunia Super 500 itu mula dianjurkan pada 2010.

Turun dengan status sebagai pilihan ketiga kejohanan, anak-anak buah Nova Widianto itu menampilkan aksi cukup baik apabila menguasai sebahagian besar perlawanan menerusi corak permainan agresif.

Keputusan tersebut turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mencatat kemenangan ketiga ke atas Christiansen-Boje dalam empat perlawanan dengan pertemuan terakhir di Terbuka Macau tahun lalu memihak kepada beregu Denmark itu.

Dalam laluan mereka ke final, gandingan No.4 dunia itu mempamerkan aksi cukup baik, termasuk menewaskan beregu No.2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir kelmarin.

Selaku juara, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (RM158,217) berserta pingat manakala Christiansen-Boje terpaksa berpuas hati dengan AS$19,000 (RM76,104) dan pingat.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia di Indonesia Masters dalam acara beregu campuran adalah menerusi gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang melangkah ke perlawanan akhir pada edisi 2016.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meraih kejuaraan tanpa perlu ‘bermandi peluh’ selepas pihak lawan dari Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi mengambil keputusan untuk menarik diri pada saat-saat akhir.

Sebagai rekod, Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita pertama negara memenangi Indonesia Masters dalam tempoh 15 tahun selepas kali terakhir dilakukan gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2011. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN