TAIPEI – Seorang pendaki Amerika Syarikat (AS) menakluki bangunan tertinggi Taiwan tanpa bantuan peralatan keselamatan hari ini dalam aksi nekad yang menarik ratusan penonton dan disiarkan secara langsung oleh Netflix.
Alex Honnold, 40, telah menakluki beberapa bongkah batu paling menggerunkan di dunia dan menjadi terkenal di seluruh dunia pada 2017 selepas mendaki ‘El Capitan’ di Yosemite. Ia merupakan monolit granit antara paling sukar untuk ditakluki.
Hari ini, dia memanjat bangunan Taipei 101 yang menjulang setinggi 508 meter dengan orang ramai berkumpul dan bersorak di bawah.
Honnold adalah orang pertama yang memanjat Taipei 101 tanpa sebarang peralatan seperti tali, abah-abah atau jaring keselamatan tetapi bukan orang pertama menakluki pencakar langit itu.
Cabaran berjudul ‘Skyscraper Live’ itu dijadualkan disiarkan di Netflix pada semalam, namun ditangguhkan kerana cuaca buruk.
“Adalah menjadi impian seumur hidup saya untuk mendaki bangunan pencakar langit,” kata Honnold dalam video promosi pendakian itu di laman Facebook Netflix, Selasa lepas.
“Jadi saya akan melakukan solo bebas Taipei 101. Tiada tali, tiada peralatan, hanya saya dan bangunan itu,” tambahnya.
Pada tahun 2004, Alain Robert yang digelar ‘Spiderman Perancis’ muncul orang pertama mendaki pencakar langit Taipei 1010 tetapi melakukannya dalam keadaan hujan dengan bantuan tali keselamatan. – AFP














