SUNGAI PETANI – Kerajaan akan terus memacu negara sebagai sebuah negara yang hebat dan berjaya di rantau Asia tanpa mengabaikan jati diri bangsa Melayu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan pesat negara dalam bidang teknologi, digital dan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya menyebabkan rakyat melupakan sejarah, budaya dan nilai yang menjadi asas pembentukan negara.
“Kita akan terus bekerja memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang hebat dan berjaya di rantau Asia tetapi kita juga mahu negara ini berakar ke bumi.
“Orang Melayu tidak hilang jati diri, mengangkat martabat dan darjat bangsa. Menimba ilmu yang baharu, tetapi masih berakar kepada sejarah bangsa termasuk seni silat yang anak-anak baru perkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Himpunan Gema Pendekar Madani Zon Utara 2026 di sini hari ini.
Anwar berkata, pendekar Madani yang ingin dilahirkan bukan sahaja perlu mahir dalam seni persilatan, malah cemerlang dalam bidang akademik dan berilmu pengetahuan.
“Pendekar Madani mesti juga pintar di sekolah dan berilmu serta menunjukkan keputusan yang cemerlang. Mudah-mudahan anak-anak faham bahawa dunia berubah dan mesti ada kekuatan ilmu, mesti ada kefahaman tentang teknologi.
“Kita mesti tahu semua itu tetapi apa bezanya? Kita berakar kepada bumi kita, tidak hilang budaya Melayu kita, tidak lupa jati diri dan sejarah bangsa serta liku-liku perjuangan dalam mencapai kemerdekaan,” ujarnya.
Tambahnya, seni persilatan bukan sahaja dapat melahirkan pendekar yang tangkas, malah membentuk keperibadian dan akhlak yang tinggi.
“Kekuatan berasaskan keyakinan kita tetapi mesti terpancar lahir daripada akhlak yang baik, bukan angkuh, bukan sombong dan bukan dengan ada sedikit latihan menunjukkan keangkuhan kita.
“Lagi hebat latihannya dan lagi gagah perkasa dirinya, lebih hormat dan memuliakan orang lain, rendah diri dan lagi tawaduk,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














