ALOR GAJAH – “Saya tak pernah dukung dan cium Maryam Al Khawla sehingga lah ke hari ini (dia meninggal) barulah berpeluang untuk dukung, cium dia.”
Itu luahan hiba Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 41, yang kehilangan bayi kembar nombor dua daripada tiga yang meninggal dunia pada usianya genap tiga bulan, di Hospital Melaka, pagi tadi.
Maryam Al Khawla dikatakan mengalami jangkitan kuman dan berada dalam keadaan kritikal sejak Isnin lalu.
Menurut Mohd. Fikry, dia dan isterinya reda dengan ketentuan itu meskipun pelbagai persiapan telah dilakukan untuk membawa pulang Maryam Al Khawla yang berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sejak dilahirkan pada usia 31 minggu.
“Disebabkan prosedur untuk melawat Maryam Al Khawla di NICU ni memerlukan pemakaian yang tertentu, kena pakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap, jadi saya sekadar boleh jumpa dan tengok daripada jauh.
“Buat pertama kali, ini lah (dapat dukung dan cium). Alhamdulillah dia punya kembar yang lain tu (Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa) dalam keadaan sihat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kelemak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai persiapan dibuat, Mohd. Fikry memberitahu dia dan isterinya telah membeli barang-barang keperluan bayi termasuk pakaian dan kereta sorong dengan setiapnya disediakan dalam tiga set bagi ketiga-tiga bayinya itu.
“Kami telah beli barang-barang semua kami beli tiga set, dia punya baju, kereta sorong bayi, semualah darab tiga.
“Kini (hanya) Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa di rumah,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan Maryam Al Khawla, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.20 pagi tadi di Hospital Melaka. Berita duka itu dikongsikan Mohd. Fikry kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp.
Terdahulu, kisah pasangan Mohd. Fikry dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 41, sebelum ini tular dan mendapat perhatian ramai apabila anak sulung mereka, Allahyarham Muhammad Al-Fateh Amri, meninggal dunia di sebuah taska pada 7 September 2024.
Muhammad Al Fateh Amri yang ketika itu berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai akibat perbuatan seorang pengasuh wanita di taska terbabit yang dikatakan bertindak membedung, menyumbat botol susu dan menekup mangsa dengan bantal.
Seorang pengasuh berusia 34 tahun kemudian ditahan bagi membantu kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada 24 Oktober tahun lalu, Mohd. Fikry dan Sabrina berkongsi berita gembira di media sosial mengenai kelahiran bayi kembar tiga mereka. – KOSMO! ONLINE














