AUXERRE – Paris Saint-Germain (PSG) dianggap bernasib baik apabila sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Auxerre pada aksi Ligue 1 di Stadium Abbe Deschamps awal pagi semalam.
Kemenangan hasil jaringan tunggal Bradley Barcola pada minit ke-79 itu memastikan mereka terus berada dalam landasan untuk mempertahankan kejuaraan meskipun diberikan tekanan oleh Lens.
Jurulatih PSG, Luis Enrique tanpa berselindung mengakui skuad kendaliannya gagal untuk menampilkan aksi seperti biasa dan mereka seolah-olah bermain dalam keadaan takut serta tidak ada keyakinan.
“Walaupun menang tipis, tetapi ia masih merupakan keputusan yang sangat istimewa untuk kami. Apa yang paling penting adalah kami terus memberikan tekanan kepada Lens dalam perebutan takhta liga.
“Perlawanan hari ini (semalam) tidak mudah kerana pemain-pemain seolah-olah tidak ada keyakinan untuk memanfaatkan setiap peluang terhidang. Jadi, ia menyebabkan kami berada dalam masalah cukup besar,” katanya.
Justeru, bekas pengendali Barcelona itu menggesa barisan pemainnya supaya menjadikan perlawanan tersebut sebagai rujukan bagi membolehkan mereka memperbaiki kelemahan dan kembali bermain seperti biasa.
“Dalam perlawanan seperti ini, keyakinan sangat penting kerana mereka bertahan sangat baik. Kami juga banyak kehilangan bola sepanjang perlawanan, jadi ia perlu diperbaiki dengan kadar segera,” ujar Enrique. – AGENSI














