PETALING JAYA – Seorang ibu kepada bayi yang maut di sebuah taska di Bangi mendakwa sudah hampir tiga tahun menanti perkembangan siasatan, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas atau kemas kini rasmi daripada pihak berkuasa.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram aktivis masyarakat, Caprice, wanita tersebut yang dikenali sebagai Laily berkata pada 17 Januari 2023, dia menerima panggilan daripada pengasuh sekitar pukul 3.28 petang.
Katanya, anaknya, Emelia Natasha Mohd Syazwan, didakwa tidak sedarkan diri ketika berada di pusat asuhan tersebut sebelum dibawa ke hospital terdekat.
Menurut wanita itu, selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, keluarganya melalui proses lanjut termasuk urusan di unit forensik Hospital Serdang.
Laily mendakwa pada keesokan hari, ketika urusan bedah siasat, dua pengasuh datang berjumpa dan menceritakan semula apa yang berlaku pada hari kejadian.
Berdasarkan penerangan yang didakwa diberikan, seorang pengasuh telah menyusukan bayi, membedung dan kemudian meniarapkan bayi.
“Seorang lagi pengasuh macam pelik lama anak saya tidur, jadi bila dia tengok anak saya didapati tidak sedarkan diri.
“Saya ada bertanya doktor forensik, kalau bayi lemas boleh kesan tak masa bedah siasat? Doktor maklumkan tak boleh kesan. Selepas itu ada doktor terangkan hasil bedah siasat dan bertanya saya sama ada sudah tengok rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Saya jawab belum. Doktor itu kata hasil pemerhatian dia, penjagaan pengasuh terhadap bayi kasar. Doktor kata dia sudah tengok CCTV,” dakwanya.
Berikutan itu, Laily berkata dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 14 Februari 2023, namun mendakwa sehingga kini masih belum menerima sebarang perkembangan siasatan.
Dalam rakaman luahan yang kini tular, Laily merayu agar diberikan penjelasan serta bantuan untuk keluarganya, termasuk permintaan untuk melihat rakaman CCTV berkaitan kejadian berkenaan.
“Saya seorang ibu. Saya merayu sangat-sangat… tolonglah kami, bantulah kami,” katanya.
Sehingga artikel ini ditulis, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan terkini kes tersebut.
Terdahulu, Caprice menerusi beberapa hantaran di Instagramnya, mendedahkan tentang taska swasta yang sama namun cawangan berbeza mengenai layanan kasar terhadap kanak-kanak yang diasuh. – KOSMO! ONLINE














