MELAKA – Bayi Maryam Al Khawla, salah seorang daripada kembar tiga pasangan Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 41, dan Sabrina Hakiem Zaini, 41, menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di Hospital Melaka.
Berita duka itu dikongsikan Mohd. Fikry kepada pemberita menerusi WhatsApp sebentar tadi.
Menurutnya, bayi perempuannya yang merupakan kembar nombor dua itu disahkan meninggal dunia pada pukul 7.20 pagi pada usianya genap tiga bulan.
“Dukacita dimaklumkan anak syurga saya, Maryam Al Khawla telah meninggal dunia pada 7.20 pagi di Hospital Melaka pada 24 Jan 26 (genap umurnya 3 bulan).
“Allah SWT lebih sayangkan dia,” tulisnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan bapa yang kehilangan anak sulung akibat tragedi di sebuah taska pada 2024 itu memohon doa orang ramai untuk kesembuhan Maryam Al Khawla susulan dilaporkan kritikal.
“Mohon semua yang mengenali saya dan isteri untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan anak kami, Maryam Al Khawla.
“Keadaannya tenat dan semakin lemah. Semoga ada keajaiban dan syifa atas berkat doa kalian semua. Hanya doa kalian kami pinta, doakan kami terus kuat tempuhi ujian,” katanya pada hantaran Instagram.-KOSMO! ONLINE














