SHAH ALAM – “Adalah tidak dinafikan bahawa tertuduh menonjolkan imej beliau sebagai seorang penceramah agama yang versatil, aktif, fasih berbahasa serta boleh menyanyi, berlakon dan berceramah. Imej ini membina kepercayaan masyarakat terhadapnya dan membezakan daripada orang lain.”
Demikian ujar Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid hari ini sebelum membuat keputusan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas pendakwah selebriti, Da’i Syed atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Terdahulu, Hakim Adlin memutuskan demikian selepas meneliti hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan dalam permohonan rayuan sabitan dan hukuman terhadap Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31. Hakim Adlin berkata, Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam keputusan sebelum ini dengan pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes tersebut.
Katanya, Hakim Mahkamah Sesyen mengambil kira antaranya latar belakang mangsa yang meninggalkan kampung halaman di Pahang untuk menyambung pelajaran dan mencari pekerjaan di Kuala Lumpur pada usia 23 tahun.
“Hakim Mahkamah Sesyen juga mengambil kira keterangan pakar-pakar psikiatri yang menyatakan mangsa menjadi lebih teruk selepas kejadian kepada Major Depressive Disorder and Possible Borderline Personality Disorder kerana tekanan yang tinggi.
“Selain itu, status tertuduh yang merupakan penceramah selebriti dan mempunyai persona awam yang mengagumkan dengan kemunculan dalam program televisyen dan di universiti,” katanya.
Menurut beliau lagi, Hakim Mahkamah Sesyen mendapati pembelaan tertuduh pada dasarnya bersifat penafian dan terdapat pencanggahan dalam keterangan-keterangan yang diberikan tertuduh berkenaan kejadian yang berlaku.
“Mahkamah mendapati kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) adalah kesalahan serius. Memandangkan mahkamah dapati sabitan dan hukuman yang diberikan adalah selamat, mahkamah seterusnya mengarahkan hukuman bermula hari ini (semalam).
“Mahkamah tidak membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan kerana tidak terdapat keadaan-keadaan khas yang menjustifikasikan penggantungan,” jelasnya.
Hakim Adlin berkata, mahkamah mendapati dapatan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa persetubuhan antara mangsa dan tertuduh berlaku dengan paksaan atau tanpa kerelaan mangsa bukanlah keterangan ‘unusually convincing’ yang tidak perlu disokong oleh keterangan lain.
Malah, Hakim Adlin menyatakan Hakim Mahkamah Sesyen telah meneliti kronologi hari kejadian termasuk mangsa dan tertuduh hanya berkenalan pada hari kejadian sehingga membawa kepada insiden rogol di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, di sini.
“Mahkamah telah meneliti mesej-mesej antara mangsa dan tertuduh pada 18 Oktober 2019 dan mendapati bahawa mangsa bukan seorang ‘jilted lover’ atau kekasih yang terperdaya seperti didakwa tertuduh,” katanya.
Pada prosiding tersebut, Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff mewakili Da’i Syed memohon supaya mahkamah mempertimbangkan penangguhan hukuman dengan mengambil kira antara lain faktor anak guamnya baharu memperoleh anak kedua pada tiga bulan lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman kemudiannya membantah permohonan tersebut kerana alasan untuk menunggu rayuan adalah tidak kukuh.
Kosmo! pada 30 Ogos tahun 2024 melaporkan Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas mendapati lelaki itu bersalah merogol mangsa di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini.
Bagaimanapun, pada 20 September tahun sama, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Da’i Syed dilepaskan sementara selepas dipenjara 21 hari bagi penggantungan pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE














