fbpx
NUR FAKHIRA menunjukkan secawan air paip yang berasa payau biarpun disaring dengan penapis air dan dimasak di Kampung Losong Feri, Kuala Terengganu semalam.

Tambah kopi pun, air tetap payau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 38,500 akaun pengguna di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus terjejas sementara selain terdapat penduduk yang me­ngadu bekalan air paip disalurkan di rumah mereka sejak awal minggu ini berasa payau dan kadangkala masin.

Mereka mendakwa rasa air bersih dibekalkan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) tersebut di luar kebiasaan sekali gus kurang sesuai untuk diminum dan memasak.

Seorang pengusaha kedai makan, Norizan Mat Yusof, 60, mendakwa, ramai pelanggannya merungut air minuman seperti kopi, teh dan milo yang dihidang payau dan masin.

“Ramai pelanggan tidak menghabiskan minuman yang dipesan dan merungut kepada saya dan pekerja. Saya cuba mengatasinya dengan menambah serbuk kopi atau teh dalam minuman dipesan, namun air itu tetap payau,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Telaga Daing, di sini semalam.

Katanya, dia terpaksa mengambil inisiatif membuat minuman pelanggan dengan menggunakan air mineral bagi mengatasi masalah tersebut.

Dakwanya, biarpun terpaksa mengeluarkan kos tambahan, ia terpaksa dilakukan bagi menge­lakkan kehilangan pelanggan.

Seorang suri rumah, Nur Fa­khira Mohammed, 27, pula mendakwa, dia dan ahli keluar­ganya tidak selesa berkumur dan menggosok gigi dengan air paip payau terbabit.

“Rasa air paip itu tidak berubah tetap payau walaupun dimasak atau disaring dengan menggunakan penapis air,” dakwanya yang menetap di Kampung Losong Feri, di sini.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Sidi Abdul Ghani, 60, pula mendakwa, dia terpaksa membeli banyak air mineral setelah ahli keluarganya enggan menggunakan air paip yang berasa payau.

“Tidak pasal-pasal saya terpaksa menambah kos perbelanjaan keluarga dengan membeli air mineral biarpun bekalan air tidak terputus pun. Mohon Satu memberi penjelasan dan selesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Abdul Karim Endut berkata, bekalan air bersih di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus menjadi payau pada masa ini disebabkan penerobosan air laut yang memasuki Sungai Terengganu.

Beliau berkata, senario di­sebabkan fenomena air pasang besar itu telah memberi kesan terhadap proses rawatan air di Muka Sauk Pulau Musang yang terletak kira-kira lapan kilometer dari muara Sungai Terengganu.

“Bekalan air bersih payau ini telah menyebabkan kira-kira 38,500 akaun pengguna di dua daerah tersebut terkesan buat sementara.

“Kita telah ambil langkah meningkatkan kuantiti air Su­ngai Terengganu bagi mencairkan kemasinan menerusi pelepasan air dari Empangan Kenyir, Hulu Terengganu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau menjangkakan kualiti air paip pengguna terjejas akan menjadi baik tanpa rasa payau selepas berakhirnya fenomena air pasang besar hari ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN