fbpx
KEADAAN bas membawa pelajar UPSI yang terlibat kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat dekat Tasik Banding, Gerik pada Jun tahun lalu.

Nahas UPSI: Bas persiaran beroperasi secara tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bas persiaran yang terlibat nahas sehingga mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer (KM) 53, Jalan Raya Timur-Barat (Jeli–Gerik), Perak tahun lalu didapati beroperasi secara tidak sah sekali gus menjejaskan akauntabiliti dan keselamatan operasi.

Menurut Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan, siasatan mendapati bas dikendalikan oleh Noreen Maju Trading, sebuah syarikat yang tidak memiliki lesen atau permit sah untuk operasi bas persiaran di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Kenderaan itu beroperasi menggunakan permit yang didaftarkan atas nama Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd., pemegang lesen sah pengendali bas.

“Penggunaan permit oleh pihak ketiga tanpa kelulusan merupakan pemajakan lesen kenderaan perdagangan yang melanggar Seksyen 49 (1) Akta 715 dan menjejaskan akauntabiliti operasi pengangkutan,” katanya.

Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) termasuk pembatalan lesen Kenari Utara Travel & Tours pada 13 Jun 2025.

Secara keseluruhannya, laporan itu memaklumkan, pemajakan lesen kenderaan perdagangan oleh pihak tidak berlesen menimbulkan risiko keselamatan operasi dan mencerminkan kelemahan dalam penguatkuasaan.

Selain itu, penyalahgunaan sistem pengecualian pemandu pelancong di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menonjolkan kelemahan dalam pengesahan permohonan serta potensi eksploitasi sistem oleh pengendali tidak berlesen.

“Kedua-dua isu ini menekankan kepentingan pematuhan, verifikasi yang berkesan, dan tadbir urus yang lebih kukuh bagi memastikan keselamatan dan integriti industri pengangkutan pelancongan,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 15 pelajar UPSI terkorban selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza pada 9 Jun 2025.

Ketika kejadian, bas persiaran tersebut dalam perjalanan membawa pelajar pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN