fbpx
Hui Ying (tengah) pada Majlis Penyerahan Smartboard Makmal Sains di SJKC Sacred Heart, Jalan Balik Pulau, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

Kanak-kanak dibaling kerusi, dipukul bapa saudara dilindung JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tular dipukul dan dibaling dengan kerusi oleh bapa saudaranya kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, JKM telah bertindak segera sebaik sahaja kes tersebut mendapat perhatian ramai bagi memastikan keselamatan mangsa.

”JKM telah melawat keluarga terbabit dan kanak-kanak lelaki yang dirotan itu kini berada di bawah perlindungan JKM. Kanak-kanak ini kini ditempatkan di hospital. Keadaannya stabil,” katanya selepas menyumbangkan sebuah papan pintar pembelajaran (smart board) kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sacred Heart di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki memukul anak saudaranya dengan rotan selain membaling kerusi di sebuah rumah di Petaling Jaya, direman dua hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa kanak yang berusia antara lapan hingga 11 tahun bertindak melawan ibu kepada suspek.

Menurut Hui Ying, semua maklumat berkaitan kes tersebut telah dikumpulkan dan siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

”Tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM adalah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak itu terpelihara. Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan bekerjasama rapat dengan pihak PDRM,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, mangsa turut mempunyai seorang adik dan pihak JKM akan memastikan keselamatan kanak-kanak tersebut sentiasa dipantau.

”Buat masa ini, hanya abang yang berada di bawah perlindungan JKM. Namun, kita akan memastikan adiknya juga berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang tindakan lanjut termasuk perintah mahkamah akan dibuat mengikut peruntukan di bawah akta kanak-kanak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI