PETALING JAYA – Prospek ekonomi Malaysia menyederhana pada November 2025 dengan Indeks Pelopor (IP) meningkat 0.2 peratus mencapai 113.2 mata berbanding 113.0 mata pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu memberi petunjuk awal titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan menjadi penyumbang utama kepada kenaikan pada bulan berkenaan dengan 67.5 peratus.
Turut terkait katanya adalah penawaran wang benar atau M1 (5.5 peratus) yang kekal stabil.
“Secara kolektif, prestasi ini menunjukkan bahawa aktiviti domestik terus menyokong momentum keseluruhan ekonomi meskipun terdapat tanda-tanda penyederhanaan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun, dari segi perbandingan bulanan, IP menyusut 2.4 peratus, dipengaruhi oleh import benar semikonduktor (-0.9 peratus) dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-0.7 peratus).
Menurutnya, trend arah aliran jangka panjang terlicin IP pada November 2025 berada di bawah 100.0 mata.
Walaubagaimanapun kata Mohd. Uzir ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dalam masa terdekat, namun pada kadar yang lebih sederhana dengan permintaan domestik kekal sebagai tulang belakang pertumbuhan.
“Ketidakpastian luaran berpotensi meningkatkan risiko penurunan yang boleh menjejaskan prospek ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
“Dalam tempoh yang sama, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa, meningkat kepada 129.3 mata dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 2.1 peratus, mencerminkan aktiviti ekonomi terus berkembang,”katanya.
Tambah beliau, pertumbuhan itu disokong oleh prestasi kukuh semua komponen bagi bulan ke-10 berturut-turut, dengan nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 0.8 peratus sebagai pemacu utama.
Sebaliknya, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, IS perlahan kepada 0.5 peratus, disebabkan oleh pergerakan yang sederhana dalam beberapa komponen.
“Terutamanya Indeks Pengeluaran Perindustrian dan nilai caruman benar KWSP, yang kedua-duanya mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus,”jelasnya.-KOSMO! ONLINE














