MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyangkal desas-desus mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 1 Januari lalu bakal terus kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, Ahli Parlimen Marang terbabit menegaskan Pas tetap dengan ketetapan untuk mengambil alih kepimpinan PN seperti dipersetujui dalam muktamar parti tersebut sebelum ini.
“Tidak ada, tidak ada, tidak ada (Muhyiddin kekal Pengerusi PN). Itu resolusi Muktamar Pas (jadi Pengerusi PN). Pas ada calon kita (Pengerusi PN),” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Begitupun Abdul Hadi mengakui masih belum menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan pembangkang tersebut sekaligus menamakan penggantinya.
Beliau berkata, kelewatan mesyuarat tersebut yang sudah tertangguh lebih tiga minggu selepas Muhyiddin meletak jawatan tersebut lebih disebabkan masalah pentabdiran.
“Mungkin dalam seminggu, dua (kedudukan Pengerusi PN dimuktamadkan),” katanya. – KOSMO! ONLINE














