PETALING JAYA – Bapa yang kehilangan anak sulung akibat tragedi di taska pada 2024 memohon doa orang ramai untuk kesembuhan seorang daripada tiga kembar perempuannya yang kini berusia tiga bulan dilaporkan kritikal pada masa ini.
Mejar Ir Ts Mohd. Fikry Amri berkata, bayinya Maryam Al Khawla yang merupakan kembar nombor dua dalam keadaan tenat dan semakin lemah.
“Mohon semua yang mengenali saya dan isteri untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan anak kami, Maryam Al Khawla.
“Keadaannya tenat dan semakin lemah. Semoga ada keajaiban dan syifa atas berkat doa kalian semua. Hanya doa kalian kami pinta, doakan kami terus kuat tempuhi ujian,” katanya pada hantaran Instagram malam tadi.
Mohd. Fikry, 41, turut berkongsi hantaran isterinya, Sabrina Hakiem, 41, memohon doa untuk Maryam Al Khawla diberi kesembuhan sepenuhnya dan terus kuat melawan jangkitan dihadapi bayi tersebut.
“Bacaan kuning naik dua kali ganda berbanding semalam (kelmarin). Mata dah kuning, perut pun dah semakin membesar. Doktor menggunakan ubat tidur dos rendah, tetapi Khawla sangat lemah dan tidak aktif.
“Selepas blood tranfussion (pemindahan darah) dan masukkan immunoglobulin, sebilangan RBC dan platlet meningkat, dah tak ada lagi keluar darah dari mulut malam semalam (kelmarin). Tetapi bayi mummy sangat lemah.
“Dah 90 hari Khawla berjuang, doakan Khawla terus kuat untuk melawat jangkitan kali keempat ini. Ya Allah, kau berikanlah syifa kepada Maryam Al Khawla. Kau berikah kekuatan kepada kami untuk menghadapi ujianMu ini,” katanya.
Terdahulu, pasangan terbabit sebelum ini pernah kehilangan anak sulung, Muhammad Al Fateh Amri yang meninggal dunia di taska pada 6 September 2024 ketika berusia lapan bulan.
Pasangan itu kemudian menerima kehadiran tiga cahaya mata perempuan serentak termasuk Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa, hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – KOSMO! ONLINE














