SHAH ALAM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah selesai menyita dua daripada tiga cawangan taska yang tular berkaitan pengabaian dan penderaan.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, ini melibatkan cawangan taska di Seksyen 3 dan Kota Kemuning.
“Ya, betul telah disita. Kita selesaikan anak anak ini pulang kepada keluarga dan kita LAK (sita)
“Dua telah selesai iaitu di Seksyen 3 dan Kota Kemuning,” katanya ketika dihubungi Kosmo! malam ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan JKM mendedahkan tiga buah pusat penjagaan kanak-kanak yang beroperasi di Shah Alam dan Prima Puchong yang tular susulan akibat isu pengabaian dan penderaan adalah tidak berdaftar sebagai operator taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
Premis di pusat penjagaan tersebut juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sewajarnya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol pula memaklumkan, setakat ini sebanyak tiga laporan diterima berhubung kes itu termasuk daripada ibu bapa kanak-kanak lelaki tersebut.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak autistik berusia 11 tahun yang didakwa dikurung di sebuah taska swasta di daerah ini dihantar ke premis berkenaan sejak enam tahun lalu.
“Kita juga merakam percakapan pempengaruh media sosial, Caprice bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














