PETALING JAYA – CIDB E-Construct Sdn Bhd (CIDB E-Construct) dan Autodesk Pte Ltd (Autodesk) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi menyokong penggunaan teknologi digital, pembangunan bakat serta transformasi industri dalam sektor pembinaan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CIDB E- Construct, Sr Nazir Muhamad Nor berkata, kerjasama ini akan memberi tumpuan terhadap tiga bidang utama iaitu menyokong pembangunan bakat dan tenaga kerja, menggalakkan kesedaran dan penggunaan digital serta kecerdasan buatan (AI) serta mempromosikan transformasi digital industri.
Menurut beliau, ia juga akan membolehkan kedua syarikat ini meneroka pelaksanaan program latihan bersepadu, aktiviti kesedaran pensijilan dan inisiatif peningkatan kemahiran bagi memperkukuh kecekapan digital dalam kalangan profesional pembinaan di Malaysia.
“MoU ini melambangkan komitmen bersama dalam membentuk masa depan industri pembinaan Malaysia melalui pendigitalan, inovasi dan pembangunan bakat.

“Melalui kerjasama erat dengan Autodesk juga, kami berhasrat untuk membangunkan tenaga kerja yang celik digital, menggalakkan penggunaan AI dan teknologi digital secara praktikal, memacu transformasi industri yang inklusif, berskala dan sejajar dengan keutamaan pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Selain itu, Naib Presiden APAC & Jepun, Autodesk, Haresh Khoobchandani berkata, kerjasama dengan CIDB E-Construct akan dapat menyokong pembangunan kemahiran, pembinaan keupayaan digital dan transformasi jangka panjang industri pembinaan Malaysia.
Menurut beliau, kerjasama ini juga bertujuan untuk membangunkan tenaga kerja bersedia masa hadapan yang mampu mengadaptasi aliran kerja digital dan berasaskan AI.
“Bersama-sama, kami akan mempamerkan bagaimana teknologi dapat meningkatkan produktiviti, kualiti dan kelestarian, di samping menggalakkan penerimagunaan digital yang lebih meluas dalam industri,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














