KOTA BHARU – Dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bergelar ‘Datuk’ dijangka akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah pada minggu depan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan bagi kes itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Menurutnya, setakat ini, SPRM masih belum mendapat sebarang maklum balas mengenai pendakwaan kes melibatkan kedua-dua lelaki itu daripada Peguam Negara.
“Kedua-dua pegawai kanan ATM bergelar Datuk itu dijangka didakwa di mahkamah minggu depan. Saya sudah minta Peguam Negara agar percepatkan tindakan itu (pendakwaan).
“Jika tiada pendakwaan, saya mahu jawapan cepat. Saya jamin kes ini tidak lama. Ini tanggungjawab saya kepada negara. Kita fokus kepada senarai utama dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sebuah hotel di sini hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan,58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram lebih RM2 juta antara 2024 hingga tahun lalu.
Muhammad Hafizuddeain, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Selain itu, Isteri ketiga Muhammad Hafizuddeain turut didakwa di Mahkamah Sesyen sama atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000.
Tertuduh, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, turut mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad. – KOSMO! ONLINE














