PETALING JAYA – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat pertamanya tahun ini mengambil keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa iaitu 2.75 peratus.
Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan BNM hari ini berkata, pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2025 dijangka berada sekitar paras atas julat unjuran (4-4.8 peratus), dan momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu yang berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
“Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah BNM, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus dan dua peratus tahun lalu, manakala bagi tahun 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terus reda.
“Harga komoditi global dijangka kekal sederhana, lantas menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang terkawal.
“Sementara itu, inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri,” katanya.
Kali terakhir BNM mengubah OPR adalah pada Julai lalu, yang menyaksikan penurunan sebanyak 25 mata asas daripada tiga peratus.
Mesyuarat MPC BNM seterusnya dijadualkan berlangsung pada 5 Mac 2026. – KOSMO! ONLINE














