SEBERANG PERAI – Seorang bekas pengetua sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di Kepala Batas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas 23 pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah RM138,673.80 pada 2019.
Zaidi Salleh, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pengetua Maahad Al Imam An Nawawi (MIN) yang diamanahkan dana maahad berjumlah RM138,673.80 melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan dengan menggunakan wang itu untuk kegunaan sendiri.
Dia yang turut memegang jawatan Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah (SU LPS) maahad sama didakwa melakukan kesalahan terbabit dengan dengan membuat pindahan wang atas talian kepada diri sendiri yang mana wang tersebut sepatutnya digunakan untuk penyelenggaraan maahad berkenaan.
Tertuduh yang kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG10 Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di antara Julai hingga Disember 2019.
Pendakwaan dikendalikan Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Adam Luqman Mohammad Ismail.
Noor Azura menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 namun Muhammad Adam dalam rayuannya memohon jaminan minima dikenakan atas alasan tertuduh memiliki lapan orang anak dan enam daripadanya sedang melanjutkan pengajian di universiti tempatan dan luar negara.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri sekali setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Februari depan. -KOSMO! ONLINE














