BENTONG – Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM13.5 juta bagi menaik taraf kemudahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting, termasuk membina sebuah bangunan tambahan enam bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan satu bilik darjah Prasekolah Integrasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) itu mencerminkan komitmen serius pentadbiran negara dalam memperkukuh sistem pendidikan inklusif tanpa mengira kaum dan aliran sekolah.
“Kerajaan bersetuju meluluskan RM13.5 juta untuk sekolah ini dan kita luluskan RM300,000 sekarang bagi membolehkan kerja-kerja pra pelaksanaan dilaksanakan segera.
“Peruntukan ini juga sebahagian daripada persediaan untuk kemasukan murid prasekolah berumur lima tahun dan Tahun Satu berumur enam tahun secara sukarela bermula tahun depan,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra Masyarakat Tionghua di Dewan Utama SJKC Perting di sini hari ini.
Anwar berkata, tumpuan kerajaan bukan sekadar kepada pembangunan fizikal sekolah, sebaliknya menekankan usaha jangka panjang bagi memastikan anak-anak Malaysia mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE














