fbpx
Haresh Deol.

‘Runner’ pukul wartawan Haresh Deol didenda RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar barang didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan wartawan sukan Haresh Deol yang juga Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), di Bangsar November tahun lalu.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R.Krishnan, 37, selepas lelaki itu mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan semula hari ini.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, mahkamah tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan dan tertuduh membayar berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan seorang suspek yang masih bebas didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Haresh Singh Chain Singh, 43.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhadapan sebuah bangunan, Jalan Telawi 3, Bangsar di sini
antara pukul 3.10 petang hingga 3.32 petang pada 25 November lalu yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sedemikian.

“Pengadu diserang serta dipukul secara terang-terang di siang hari. Tertuduh serta seorang lagi lelaki yang masih bebas memang sengaja mahu memukul mangsa sehingga mengalami kecederaan. Perbuatan ini memberi ketakutan kepada orang ramai untuk berjalan di tempat awam yang pada bila-bila masa boleh diserang atau dipukul. Sekiranya mahkamah memberi hukuman ringan, penjenayah-penjenayah ini tidak akan gentar untuk melakukan kesalahan sama,” katanya.

Bagaimanapun peguam Mohamad Salihen Mastor pula memohon hukuman denda yang rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung lima anak serta ibu selain tertuduh tidak mempunyai kesalahan lampau, dan menyesal akan perbuatannnya itu.

Berdasarkan fakta kes, Haresh yang bekerja sebagai editor di sebuah syarikat didatangi tertuduh dan seorang lagi lelaki yang masih bebas yang berpura-pura sedang bercakap di telefon ketika mangsa sedang berjalan di kawasan berhampiran tempat letak kereta.

Haresh yang baru pulang dari sebuah restoran itu berasa tidak selamat dan cuba melarikan diri, namun dikejar dua lelaki terbabit sebelum di terlanggar seorang pejalan kaki sehingga terjatuh di bahu jalan dan dua lelaki itu bertindak memukul mangsa di bahagian muka serta badan.

Lelaki yang masih bebas itu kemudian memberitahu mangsa supaya tidak mengganggu isterinya dan apabila mangsa bertanya siapakah isteri yang dimaksudkan, dua lelaki itu terus melarikan diri.

Haresh telah mengejar kedua-dua lelaki itu serta mengambil beberapa keping gambar kejadian untuk dijadikan bukti, dan keseluruhan kejadian dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) serta terdapat orang awam menyaksikan kejadian tersebut.

Selepas mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut serta lebam di bahagian batang hidung, cuping telinga kanan serta bahagian dada.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan daripada Haresh berhubung kejadian yang berlaku di Jalan Maarof di sini berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah ketika mangsa sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.

Sebelum itu, Haresh menerusi hantaran di laman X mendakwa diserang dua lelaki sementara seorang lagi individu merakam insiden serangan tersebut dengan menggunakan telefon bimbit.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI