fbpx
Gambar hiasan

Kemasukan murid Tahun 1 pada usia 6 tahun tak jejas laluan persekolahan sedia ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Keputusan membenarkan kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027 adalah bersifat pilihan dan sukarela, tanpa menjejaskan laluan persekolahan sedia ada yang bermula pada umur tujuh tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, rasional utama penawaran kemasukan awal ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia dari segi perkembangan kognitif, emosi dan pembelajaran untuk memulakan pendidikan formal lebih awal.

Beliau berkata, kesediaan itu tidak ditentukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya akan dibuat berdasarkan saringan diagnostik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan hanya kanak-kanak yang layak dan bersedia sahaja ditawarkan kemasukan ke Tahun 1 pada umur enam tahun.

“Dari sudut struktur pendidikan, pelaksanaan ini tidak akan mengubah tempoh persekolahan murid.

“Sama ada murid memulakan Tahun 1 pada umur enam atau tujuh tahun, semua murid tetap melalui enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun pendidikan menengah, selaras dengan struktur pendidikan sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Oleh itu katanya, tiada penambahan tahun persekolahan di peringkat rendah dan tiada kesan negatif terhadap keseluruhan laluan pendidikan murid.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai rasional membenarkan kemasukan murid ke Tahun 1 pada umur 6 tahun.

Sementara itu Fadhlina berkata, sebagai sokongan kepada prakarsa ini, KPM sedang giat memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak melalui peluasan kelas prasekolah di seluruh negara.

“Bagi memastikan kesiapsiagaan prasarana menjelang pelaksanaan kemasukan murid enam tahun pada 2027, KPM akan mengoptimumkan prasarana sedia ada di sekolah.

“Namun begitu penambahan prasarana seperti bilik darjah akan dibuat secara berperingkat melalui kaedah Industrial Building System (IBS) berdasarkan keperluan dan situasi setempat,” katanya.

Jelasnya, dari segi sumber manusia, keperluan guru akan ditangani secara proaktif dengan pengambilan khas guru secara Contract of Service (CoS).

“Sebagai langkah jangka masa panjang keperluan guru terlatih akan terus disediakan menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP).

“KPM jugatelah menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 yang dirangka bagi memastikan penguasaan literasi, numerasi dan kemahiran pembelajaran asas murid, dengan kandungan dan pendekatan yang disesuaikan mengikut tahap kognitif,” katanya.

Katanya, kurikulum itu memastikan semua murid, termasuk yang memasuki Tahun 1 pada umur enam tahun, berupaya menguasai kemahiran asas sebelum melangkah ke tahap seterusnya.

“Selain itu, perkembangan murid akan dipantau secara berterusan oleh pihak sekolah dan sokongan pembelajaran yang bersesuaian akan diberikan bagi membantu penyesuaian mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI