KUALA LUMPUR – Sebuah unit pangsapuri di Taman Maluri, di sini, yang dijadikan rumah penampungan sementara atau ‘safe house’ untuk aktiviti penyeludupan migran terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen (JIM), Selasa lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi tersebut, lima lelaki berusia lingkungan 27 hingga 44 tahun ditahan kerana disyaki sebagai migran yang diseludup.
“Selain itu, turut ditahan dua lelaki berusia 56 tahun dan 28 tahun, masing-masing dipercayai berperanan sebagai pengatur atau penjaga rumah penampungan serta penghantar (transporter) bagi rangkaian sindiket.
“Kesemua mereka adalah warga Bangladesh. Pemeriksaan lanjut mendapati pasport milik migran berkenaan tidak mempunyai sebarang cap pengesahan masuk yang sah ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengangkutan migran turut disita.
Katanya, operasi ini dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan penyeludupan migran melibatkan warga Bangladesh yang memasuki negara ini secara haram melalui laluan ‘tikus’ di negeri Kelantan.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati migran yang diseludup mempunyai kaitan dengan ‘Sindiket Iqbal’ yang berjaya ditumpaskan oleh JIM di Kelantan, baru-baru ini.
“Modus operandi sindiket ini adalah melakukan aktiviti penyeludupan migran melalui laluan darat. Premis di Taman Maluri dikenal pasti dijadikan sebagai rumah penampungan sementara (safe house) bagi migran yang baru tiba dari Pantai Timur.
“Migran berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui laluan darat yang tidak sah di sekitar sempadan Malaysia-Thailand sebelum dihantar ke destinasi seterusnya,” katanya.
Jelasnya, operasi ini turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
Zakaria berkata, kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]. – KOSMO! ONLINE














