BANDAR GAZA – Israel mengeluarkan arahan pemindahan terhadap berpuluh-puluh keluarga dari sebuah kampung di selatan Gaza, menjadikannya pemindahan paksa pertama dilakukan sejak gencatan senjata dipersetujui dengan Hamas Oktober lalu, lapor portal berita The New Arab.
Penduduk di Bani Suheila, timur Khan Yunis berkata, tentera Israel mengugurkan risalah di kem pelarian yang mengarahkan keluarga untuk mengosongkan kawasan itu dengan segera.
“Mesej segera. Kawasan ini berada di bawah kawalan penuh tentera Israel. Anda mesti berpindah segera,” tulis risalah itu.
Bani Suheila terletak berhampiran garisan kuning yang memisahkan kawasan yang diduduki Israel dari seluruh Gaza.
Rejim Zionis mengesahkan bahawa ia telah menggugurkan risalah tersebut sambil mendakwa, ia bukan bertujuan untuk memindahkan penduduk, namun tidak menjelaskan lebih lanjut tentang amaran itu.
Israel memindahkan secara paksa lebih 90 peratus daripada 2.2 juta penduduk Gaza semasa serangan ke atas wilayah itu, dengan mengeluarkan ratusan perintah pengosongan yang mengusir beribu-ribu orang dari rumah mereka dalam satu masa.
Perintah pengosongan itu muncul ketika tentera Israel melancarkan serangan berterusan di seluruh Gaza dan melanggar perjanjian gencatan senjata.
Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, Rejim Zionis melakukan lebih 1,300 pelanggaran gencatan senjata dalam tempoh 100 hari sejak ia berkuat kuasa Oktober tahun lalu. – AGENSI














