KUALA LUMPUR – Penyanyi Fauziah Latiff memohon maaf kepada para peminat kerana terpaksa menunggu selama empat dekad untuk menontonnya beraksi dalam sebuah konsert.
Fauziah bakal beraksi dalam konsert 4 Decades Fauziah Latiff yang akan berlangsung pada 9 Mei 2026 bertempat di Dewan Plenary KLCC anjuran Ideatelier.
Menurut Fauziah atau nama lengkapnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 56, sebagai seorang yang boleh dikatakan cerewet, dia sangat menitikberatkan setiap aspek dalam penganjuran sesebuah konsert sehingga takut andai tidak dapat memuaskan hati peminatnya.
“Saya minta maaf banyak-banyak kerana ambil masa yang lama kerana saya takut tak dapat nak puaskan hati semua.
“Bila penganjur iaitu Ezuwan Ismail datang kepada saya dan bentangkan ideanya sejujurnya saya terkedu. Dia datang siap dengan segala perancangan yang sudah tersedia.
“Selepas itu saya ambil masa untuk fikir sampai tak dapat tidur malam. Bila difikirkan semula, saya rasa sudah tiba masanya saya balas jasa peminat yang membesar dengan lagu-lagu saya. Saya mahu sama-sama mengimbau kenangan bersama mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert 4 Decades Fauziah Latiff, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada pernah timbul rasa ralat dalam hatinya kerana tidak pernah menganjurkan konsert sebelum ini, kata pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu, dia tidak pernah merasakan begitu.
“Sejujurnya tak pernah rasa ralat. Memang sebelum ni ada sahaja tawaran untuk menganjurkan konsert. Tetapi saya takut kerana (konsert) merupakan satu tanggungjawab yang besar bukan melibatkan diri saya sahaja tetapi setiap orang yang terlibat termasuklah komposer dan pemuzik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














