fbpx
Gambar hiasan

Sekolah awal, peluang lebih luas untuk anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keputusan kerajaan membenarkan pendidikan prasekolah bermula usia lima tahun dan kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun disifatkan sebagai langkah yang baik dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Minda Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan tersebut bukan sesuatu yang baharu di peringkat global.

Katanya, Malaysia kini menyertai kelompok negara yang menyediakan pendidikan formal seawal usia enam tahun, sekali gus memberi kelebihan kepada kanak-kanak untuk memulakan pembelajaran lebih awal.

“Jadi, dengan itu anak-anak berpeluang belajar, bersosial, dan bermain dengan kawan-kawan lebih awal di alam persekolahan. Saya rasa ini satu keputusan yang baik yang mesti kita sokong,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Anuar berkata, pendedahan awal ini juga memberi kesan jangka panjang apabila murid berpeluang menamatkan alam persekolahan pada usia lebih muda.

“Apabila tamat sekolah lebih awal, mereka juga boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan memasuki universiti lebih awal,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dari sudut kajian, kanak-kanak masa kini lebih bersedia untuk belajar lebih awal berbanding generasi terdahulu.

Menurutnya, berbeza dengan era 1950-an dan 1960-an, akses kepada sekolah pada hari ini jauh lebih meluas yang mana sistem pendidikan juga lebih tersusun.

Bagaimanapun, Dr. Anuar berkata, bahawa pelaksanaan dasar itu memerlukan persediaan rapi, khususnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau menegaskan, keperluan mencukupi dari segi bilik darjah, guru dan kemudahan juga penting agar murid tidak terpaksa belajar dalam kelas yang sesak dan tidak selesa.

“Cumanya ada sedikit cabaran yang perlu diuruskan kerana tahun depan kemasukan kanak-kanak enam tahun akan bertembung dengan mereka yang berusia tujuh tahun. Jadi jumlah tahun depan mungkin akan berganda,” jelasnya.

Dalam masa sama, Anuar menasihatkan ibu bapa agar tidak memaksa anak ke sekolah jika mereka belum bersedia, sebaliknya mengambil kira tahap perkembangan dan psikologi anak masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI