GEORGE TOWN – SPRM Pulau Pinang menggalakkan penjawat awam khususnya di unit penguat kuasa untuk tampil membuat laporan sekiranya ada unsur-unsur penyogokan ketika menjalankan aktiviti penguatkuasaan.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy berkata, langkah itu selaras dengan usaha SPRM memperkasakan penguatkuasaan di semua peringkat bagi memastikan penjawat awam berani menolak rasuah.
“Kerajaan telah menyediakan garis panduan ganjaran (reward) bagi penjawat awam yang melaporkan cubaan penyogokan. Ganjaran ini harus digunakan sepenuhnya untuk membendung amalan rasuah,” katanya selepas Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan MBPP di Komtar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Karunanithy berkata, mengenai aduan rasuah sepanjang 2025, SPRM Pulau Pinang menerima kurang daripada lima laporan rasmi berkaitan cubaan penyogokan terhadap penjawat awam.
Selain itu, katanya, agensi itu turut menerima 37 maklumat berkaitan salah laku daripada MBPP, termasuk laporan daripada pelbagai unit penguat kuasa, menunjukkan perlunya penjawat awam lebih berani membuat laporan.
“Dari segi tangkapan, sebanyak lima tangkapan telah dibuat setakat tahun lalu, namun kesemua kes masih dalam proses untuk dibawa ke Pejabat Peguam Negara bagi tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, dalam program itu juga, SPRM melancarkan e-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang yang juga satu inisiatif digital untuk menyebarkan mesej pencegahan rasuah secara lebih meluas kepada penjawat awam dan masyarakat.
“E-flyer ini akan dikeluarkan setiap bulan melalui platform seperti WhatsApp dan dilengkapi QR code bagi memudahkan penyebaran maklumat kepada ketua jabatan serta pegawai bawahannya.
“Pendekatan digital ini adalah satu cara proaktif untuk memastikan mesej anti-rasuah sampai ke semua lapisan masyarakat dan mudah diakses oleh penjawat awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














