KUALA LUMPUR – Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengetuai skuad beregu campuran negara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters yang berlangsung di Jakarta.
Pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan sebentar tadi, gandingan juara dunia itu mencatat kemenangan 21-19, 20-22, 21-10 ke atas Zhu Yi Jun-Li Qian dari China.
Meskipun diheret sehingga ke set penentuan, namun Tang Jie-Ee Wei berjaya mengekalkan momentum sebelum memenangi perlawanan dalam tempoh 56 minit.
Beregu No.4 dunia itu pasti mahu sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun lalu di mana mereka berjaya melangkah ke suku akhir pada kejohanan tersebut.

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang berjaya menewaskan beregu Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsaard.
Mereka tersentak seketika apabila tewas di set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya untuk menang 13-21, 21-6, 21-17 dalam tempoh 46 minit.
Sementara itu, dua gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Jimmy Wong-Lai Pei Jing terpaksa pulang awal apabila masing-masing tewas kepada beregu tuan rumah.
Soon Huat-Shevon tewas 21-18, 18-21, 20-22 kepada Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil manakala Jimmy-Pei Jing dikalahkan Dejan Ferdinansyah-Bernadine Anindya Wardana 10-21, 17-21. – KOSMO! ONLINE














