fbpx
Sabri

Fitnah: Pegawai Kanan ATM kemuka 18 tuntutan terhadap Chegubard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali mengemukakan 18 tuntutan dalam saman fitnah, terhadap aktivis politik Chegubard berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada Julai 2024 hingga Disember tahun lalu.

Sabri selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan menamakan Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin selaku defendan.

Peguam, Muhamad Firdaus Jumaludin yang mewakili plaintif berkata, antara tuntutan tersebut ialah permohonan ganti rugi terhadap Chegubard, di atas kerosakan reputasi anak guamnya ekoran tohmahan serta cemuhan yang dilemparkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini jumlah ganti rugi yang dipohon tidak dapat dinyatakan.

“Selain itu, kami akan membuat permohonan injunksi supaya semua kenyataan defendan dikeluarkan. Anak guam mahu meneruskan saman ini kerana ahli politik itu, tidak memberi maklum balas terhadap surat tuntutan supaya menurunkan pernyataan fitnah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, berdasarkan pernyataan tuntutan, sekitar Julai 2024 hingga Disember 2025, defendan didakwa menerbitkan secara berulang pelbagai kenyataan bertulis, visual dan rakaman video di media sosial yang menuduh plaintif sebagai seorang pegawai kanan tentera yang kononnya terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa, tidak berintegriti serta tidak layak memegang jawatan kepimpinan tertinggi ATM.

Plaintif juga menegaskan bahawa kesemua tuduhan itu adalah palsu, tidak berasas dan bersifat fitnah, dibuat tanpa sebarang keputusan mahkamah, pendakwaan atau pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana pihak berautoriti.

Menurut plaintif, defendan sendiri mengakui bahawa dakwaan tersebut bersumberkan dokumen yang diperoleh daripada pihak yang tidak dikenali, tanpa sebarang proses pengesahan atau verifikasi yang sah.

Plaintif berkata kenyataan-kenyataan tersebut telah disiarkan secara meluas dan berulang sehingga menimbulkan persepsi awam bahawa plaintif adalah seorang pegawai kanan tentera yang korup, tidak amanah, serta menjadi ancaman kepada keselamatan dan kepentingan strategik negara.

Dakwanya, defendan juga secara terbuka mengakui niatnya untuk menggagalkan pelantikan plaintif sebagai Panglima Tentera Laut, membuktikan bahawa penerbitan tersebut dibuat dengan niat jahat dan bukan demi kepentingan awam.

Akibat daripada penyiaran fitnah itu, reputasi, maruah, kredibiliti profesional serta integriti plaintif telah terjejas dan oleh itu, plaintif menuntut pengisytiharan bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah fitnah, perintah mahkamah supaya penerbitan lanjut dihentikan, serta ganti rugi yang wajar atas kerosakan reputasi dan penderitaan yang dialami.

Justeru secara keseluruhannya peguam itu berkata, perkara tersebut telah menyebabkan kerosakan reputasi serius yang tidak boleh dipulihkan melalui penjelasan awam semata-mata, terutama fitnah tersebut ditambah dengan tohmahan liar di ruangan komen.

Pada 2 Januari lalu Kosmo! melaporkan Sabri menafikan setiap tuduhan yang dilemparkan terhadapnya oleh aktivis Chegubard.

Menerusi peguamnya, Muhammad Firdaus berkata, semua tuduhan itu disifatkan tidak benar, mengelirukan dan berunsur fitnah yang serius.

Menurutnya, tuduhan itu langsung tidak berasas malah, turut menjejaskan institusi dan imej PUSPAHANAS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan.

Chegubard sebelum ini mendakwa Sabri terlibat dalam kesalahan berkaitan rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI