KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan pembekuan sementara semua perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan lain akan diteruskan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bagi memastikan semua urusan perolehan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan kepentingan negara.
Ini kerana kata beliau, agensi penguatkuasaan serta pasukan keselamatan negara tidak boleh meneruskan amalan bobrok yang merosakkan bukan sahaja kepada negara, tetapi kepada industri itu sendiri.
“Mana mungkin kita tetapkan satu dasar pertahanan, perolehan senjata yang terbaik kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi, dengan komisen, dengan kekayaan.
“Maka pembekuan ini diteruskan di Kementerian Pertahanan dan saya nak selaraskan juga di Kementerian Dalam Negeri, kerana beberapa persamaan atau agensi-agensi lain yang terlibat, harus melalui perubahan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua kelulusan perolehan yang telah dibuat tetapi belum dimuktamadkan akan diteliti semula bagi memastikan pematuhan kepada prinsip ketelusan serta keupayaan kewangan negara.
Dalam ucapan itu juga, Anwar menegaskan bahawa DIPN mesti memenuhi komitmen perolehan yang telus dan dilaksana menerusi tadbir urus serta tatakelola baik.
“Semua perolehan selepas ini perlu dinilai berdasarkan strategi pertahanan negara, dibuat secara terbuka dan mengelakkan sebarang ruang kepada penyelewengan atau kecurangan,”katanya.-KOSMO! ONLINE














