ALOR SETAR – Ibu bapa diminta tidak panik dengan inisiatif kerajaan menawarkan pilihan mendaftarkan anak berusia enam tahun ke tahun satu, sebaliknya melihatnya sebagai pembaharuan dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan tahun hadapan itu bukan perkara asing kerana ia turut dilaksanakan di negara lain.
“Kita mulakan (inisiatif) ini dengan tidak wajib, ia adalah optional (pilihan) tetapi optional pun, kita tidak beri kebebasan kepada ibu bapa begitu sahaja.
“Ia mesti datang dengan kebersediaan anak dan yang paling penting sokongan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) yang kita namakan sebagai ujian diagnostik,” katanya pada sidang akhbar selepas Program PAKAT Prasekolah peringkat negeri di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, di sini hari ini.
Beliau berkata, ujian diagnostik itu bertujuan mengenal pasti kebersediaan anak daripada segi psiko emosi, tahap kemahiran dan kemampuan berada di kelas tahun satu.
“Ia bukanlah dasar yang (dibuat secara) terburu-buru, ia mesti disokong dan diperkukuhkan. Anak-anak mesti bersedia dan ibu bapa mesti beri komitmen, kita akan pandu dan beri pedoman kepada ibu bapa berhubung ujian diagnostik ini.
“Ibu bapa yang tidak setuju, boleh mengikut cara biasa iaitu anak tahun satu pada usia tujuh tahun sebab ia tidak wajib dan merupakan pilihan selain perlu disokong dengan ujian diagnostik,” ujarnya.
Berhubung prasarana sekolah, katanya, persiapan akan dilakukan berdasarkan data diperoleh daripada ujian diagnostik.
“Ada ujian diagnostik dan data itu akan diperoleh lebih awal. Persiapan itu sedang kita lakukan di peringkat KPM iaitu mengenal pasti sekolah-sekolah yang telah bersedia dengan kelas-kelas tersebut.
“Kalau ada permintaan yang lebih dan kelas tidak mencukupi, kita sudah bersedia untuk mendirikan kelas-kelas secara Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang boleh siap dalam tempoh masa singkat,” ujarnya.
Menurut Fadhlina, pihaknya juga akan memastikan keperluan guru mencukupi susulan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“Data diagnostik itu penting untuk kita susun unjuran guru-guru kita. Guru-guru sentiasa ada, yang kita nak susun sekarang adalah bagaimana untuk mengisi keperluan itu, selain penguasaan beberapa aspek supaya dapat mendukung anak-anak umur enam tahun yang akan masuk tahun satu.
“Jadi secara keseluruhan persiapan itu sedang giat dilaksanakan, baik prasarana, guru mahupun persiapan ujian diagnostik ini. Kita akan maklumkan dari semasa ke semasa khususnya untuk memberi ruang kepada ibu bapa bersedia dan membuat keputusan terbaik untuk anak-anak mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu adalah reformasi pendidikan yang penting dan memaklumkan terdapat pelajar di negara ini menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada usia 16 tahun di Akademi Sains Pendang. – KOSMO! ONLINE














