PETALING JAYA – Tragedi Nipah 26 tahun lalu membuatkan Malaysia hampir tumbang selepas tersalah lawan musuh sehingga menyebabkan 105 nyawa terkorban.
Menerusi hantaran oleh Public Health Malaysia (PHM) di media sosial, sistem kesihatan awam negara terus diancam dengan kesihatan haiwan dan alam sekitar.
“Tahun 1998-1999 bukan sekadar tahun reformasi politik. Ia adalah tahun di mana sistem kesihatan awam Malaysia diuji sehingga ke titik paling rapuh.
“Kita kehilangan 105 nyawa. Kita lupuskan 1.1 juta ternakan. Paling menakutkan selama berbulan-bulan, kita berperang dengan musuh yang salah,” katanya.
Jelas PHM, Kementerian Kesihatan dan pakar mengisytiharkan wabak Japanese Encephalitis (JE), susulan simptom bengkak otak akibat nyamuk, pada awal wabak nipah.
“Maka berlakulah operasi ‘fogging’ terbesar dalam sejarah di Bukit Pelanduk. Vaksin JE dibeli berjuta ringgit, tapi angka kematian terus naik.
“Dari sudut epidemiologi, ada petanda yang diabaikan iaitu mangsa majoritinya lelaki dewada Cina (penternak), orang Melayu sekampung yang juga digigit nyamuk namun tidak sakit.
“Jika nyamuk puncanya, kenapa hanya penternak babi yang mati?,” ujar PHM.
Katanya, keberanian Dr. Chua Kaw Bing yang menyeludup sampel virus ke Amerika Syarikat berjaya menyelamatkan nyawa ribuan rakyat dengan pengesahan punca wabak.
Sehubungan itu, tentera terpaksa turun padang bukan untuk melawan komunis, tetapi melawan babi dengan menembak haiwan tersebut.
PHM turut menjelaskan, Virus Nipah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai 10 Patogen yang boleh menyebabkan pandemik global seterusnya dengan kadar kematian 40 peratus sehingga 75 peratus. –KOSMO! ONLINE














