KUALA LUMPUR – Masih terdapat perkara perlu dilihat dan dibincang berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) termasuk salah anggap membabitkan kedaulatan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, MITI akan menyediakan kertas cadangan memperincikan definisi ART yang lebih jelas untuk dibawa ke Mesyuarat Kaukus Parlimen.
“Saya melihat ada banyak perkara yang perlu kita tengok dan kita bincang untuk kita meletakkan perjanjian. Sebelum kita ratifikasi perjanjian secara `final’, kita mesti `define’ soal-soal atau isu-isu berbangkit yang menyebabkan ada salah anggap.
“Sebagai contoh melibatkan kedaulatan negara dan juga kepentingan negara dan sebagainya. Itu saya ambil maklum, cuma pada masa sebelum saya terlibat, perbincangan itu lebih berpusat kepada ekonomi. Jadi apa saja yang tertulis dalam itu lebih kepada ekonomi.
“Tetapi ia tidak mempunyai `definition’ yang jelas. Jadi dengan adanya proses ratifikasi ini, maka saya akan mengambil ratifikasi ini untuk berbincang dan mendefinisikan balik apa maksud yang terlibat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengapa ART dimeterai secara tergesa-gesa sebelum ini tanpa melalui proses yang sewajarnya.
Terdahulu, Johari berkata, keputusan kerajaan Malaysia memeterai perjanjian ART adalah hasil pertimbangan yang menyeluruh dan berlandaskan kepentingan ekonomi negara.
Jelas beliau, proses ratifikasi namun masih berjalan dan belum selesai yang bermakna ART antara Malaysia dan AS masih belum berkuatkuasa.
Ujar beliau, Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa perlu mengambil langkah bersesuaian dengan keperluan dan kepentingan nasional.
Kata beliau, penglibatan Malaysia dalam ART adalah bertujuan untuk memastikan akses pasaran yang berterusan dan stabil ke Amerika Syarikat yang merupakan antara rakan dagang dan destinasi pelaburan utama negara.
“Sebagai contoh, nilai eksport produk Malaysia ke AS adalah RM167.2 bilion pada tahun 2022, RM161.3 bilion pada tahun 2023 dan RM198.6 bilion pada tahun 2024. Pada tahun 2025 dianggarkan RM233 bilion,” katanya.
Tambah beliau, perjanjian itu juga berfungsi sebagai mekanisme penting untuk mengurangkan risiko pengenaan tarif timbal balas yang lebih tinggi ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.
Kata beliau, risiko itu berpotensi menjejaskan daya saing produk tempatan, kedudukan negara dalam rantaian bekalan global serta peluang pekerjaan rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














