PARIS – Dunia memasuki era ‘kebankrapan air global’ dengan sungai, tasik, dan punca air lain menyusut lebih cepat daripada kemampuan alam semula jadi mengisinya semula, kata sebuah institut penyelidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) semalam.
Institut Universiti PBB untuk Air, Alam Sekitar dan Kesihatan (UNU-INWEH) berkata, penggunaan air berlebihan, pencemaran, kemusnahan alam sekitar dan perubahan iklim mengakibatkan banyak sistem air melepasi batas pemulihan dan memerlukan klasifikasi baharu.
“Tekanan air dan krisis air tidak lagi mencukupi untuk menggambarkan realiti air dunia,” demikian menurut laporan UNU-INWEH.
Laporan itu mencadangkan istilah alternatif ‘kebankrapan air’ iaitu keadaan di mana penggunaan air jangka panjang melebihi bekalan semula jadi dan tidak dapat dipulihkan secara realistik.
Situasi tersebut dilihat menerusi pengecutan tasik-tasik besar dunia, kata laporan sama, manakal semakin banyak sungai utama gagal mengalir ke laut pada sesuatu masa dalam setahun.
Dunia juga hilang sebahagian besar tanah lembap, dengan kira-kira 410 juta hektar atau menyamai saiz Kesatuan Eropah hilang sepanjang lima dekad yang lalu.
Penyusutan air bawah tanah adalah satu lagi tanda kebankrapan tersebut. – AFP














