PETALING JAYA – Bakal menimang cahaya pertama akhir bulan ini, pelakon, Qi Razali mengakui sudah mempunyai beberapa pilihan nama buat anaknya yang mempunyai unsur klasik.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 48, berkata, dia dan isteri, Wardah Hayati Mahbob menggemari nama Kemelayuan yang turut dipadankan dengan pilihan panggilan lebih moden.
“Persediaan sudah dibuat. Saya beli semua lampin dan sabun yang tiada bahan kimia, malah katil bayi pun ada dengan biliknya dan sebagainya. Kiranya benda asas sudah lengkap. Saya baru tahu baju ‘baby’ ada saiz kosong.
“InsyaAllah anak kami akan lahir pada hujung bulan ini dan sebenarnya dalam jadual saya pun ada kerja yang perlu dilakukan tapi mungkin kita boleh berbincang jika tarikh bertembung nanti.
“Saya pun sudah ada pilihan nama klasik Melayu dan moden. Kalau perempuan mungkin Anggun. Kita mahukan nama klasik sebab nak dia tahu asal usul dan keturunannya, tak mahulah terlalu moden sebab keluarga saya semuanya menggunakan nama Melayu,” katanya selepas tayangan filem Pemuja di TGV The Starling, malam tadi.
Qi yang membawakan watak sebagai Aqil dalam filem seram itu juga mengakui dia merujuk kepada rakan terdekat yang sudah bergelar bapa sebagai persiapan menyambut kelahiran bayi selain menjaga isteri ketika dalam pantang.
“Semua orang bertanya sudah sedia ke nak ada mata panda, dan saya rasa saya faham kenapa pada awalnya lelaki yang kena berjaga malam sebab isteri baru bersalin, dia kena rehat.
“Jadi saya tak tahu nak cakap saya bersedia berjaga malam atau tidak tapi kita berjaga tengah malam nak tengok malam boleh pula. Cuma sekarang tengok perlawanan bola sepak, separuh masa pun tak lepas.
“Apa pun memang saya banyak bertanya pada kawan terdekat sebab saya mahu anak saya selesa dan isteri juga selesa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, mengikut jangkaan awal doktor, anaknya berkemungkinan perempuan, namun mereka juga sudah bersedia andai dikurniakan putera.
Sementara itu, mengenai Pemuja terbitan Metrowealth Pictures, Qi teruja menanti reaksi penonton terhadap filem seram pertamanya, juga arahan Azmir Affandi.
“Dulu saya pernah cakap tak mahu buat filem seram sebab saya sendiri skeptikal tapi bila jumpa pengarah filem ini dan dia bercerita mengenai skrip, saya tertarik apatah lagi saya diberi kebebasan berkarya.
“Jadi saya boleh letak banyak ciri Qi Razali dalam filem ini. Bagi saya, okey saja berlakon filem seram sebab saya tak pernah mengalami situasi seperti dalam filem ini. Saya juga suka bekerja dengan mereka yang kali pertama mengarah kerana mereka ada banyak idea,” katanya.
Qi menggalas watak suami kepada Qistina lakonan Yasmin Hani yang berdepan pelbagai insiden misteri sebaik berpindah ke rumah pusaks keluarga di kampung disebabkan masalah kewangan mereka.
Bakal ditayangkan pada 22 Januari ini, naskhah tersebut turut dibintangi Hilal Azman, Nam Ron serta Datin Seri Maria Farida. – KOSMO! ONLINE














