TOKYO – Polis Jepun menahan seorang lelaki yang disyaki menggunakan aplikasi kepintaran buatan (AI) untuk menghasilkan lebih 500,000 imej lucah mirip selebriti wanita dan menjualnya secara online, kata seorang jurucakap polis dan laporan media hari ini.
Kebimbangan semakin meningkat di seluruh dunia mengenai penggunaan platform AI untuk tujuan jahat termasuk menghasilkan imej ‘’deepfake’ dengan menukar foto, video atau audio sebenar menjadi gambaran palsu.
Antara Disember 2024 hingga Mei 2025, suspek yang dikenali sebagai Tetsuro Chiba didakwa ‘membenarkan penonton internet melihat 14 fail imej elektromagnet lucah secara online pada harga yang ditetapkan’, kata jurucakap berkenaan kepada AFP.
Penganggur berumur 31 tahun yang tinggal di Sapporo, utara Jepun itu ditahan polis Tokyo semalam kerana disyaki menyiarkan kandungan lucah secara online.
Agensi berita Kyodo News memetik sumber polis sebagai berkata, suspek dipercayai mencipta lebih 520,000 imej ‘deepfake’ lucah melibatkan kira-kira 300 selebriti. Dia mendapat bayaran kira-kira 11 juta yen (RM282,807) dengan mempromosikan kandungan itu di media sosial dan saluran lain.
Agensi berita Jiji Press melaporkan butiran serupa sambil menambah, suspek berbuat demikian untuk mendapatkan wang.
Beberapa negara telah mengambil langkah mengharamkan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap X dan xAI milik Elon Musk berhubung kebimbangan keselamatan yang dicetuskan oleh chatbot terbina di dalam, Grok, yang membenarkan pengguna mencipta dan berkongsi gambar seksual.
Grok menyatakan akan menyekat penjanaan dan penyuntingan imej kepada pelanggan berbayar, dan X mengumumkan akan menyekat sepenuhnya ciri tersebut di beberapa negara.
Filipina minggu lepas menjadi negara ketiga mengharamkan Grok selepas Malaysia dan Indonesia. – AFP














