fbpx
Tangkap layar rakaman video di media sosial menunjukkan antara aktiviti yang dilakukan oleh pengikut ajaran Abah Aos.

‘Abah Aos’ ajar bayang wajahnya ketika solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Satu ajaran yang dipercayai berasal dari negara jiran dan didakwa terpesong mencetuskan kebimbangan apabila dikesan telah bertapak secara senyap di Malaysia khususnya di Selangor.

Ajaran yang jelas me­nyim­pang daripada ajaran Ahli Sun­nah Wal Jamaah itu dipimpin oleh seorang individu yang digelar pengikutnya sebagai ‘Abah Aos’ dan dikenali melalui pemakaian kopiah merah putih.

Perkara itu didedahkan seorang pensyarah yang juga pendakwah, Ustaz Aizuddin Abdul Hamid yang memaklumkan ajaran tersebut dipromosikan secara terbuka dan agresif melalui media sosial. Katanya, ajaran itu sudah mula dikesan di Serendah sejak peng­hujung tahun lalu, tetapi belum meluas.

“Berdasarkan maklumat dan daripada video yang tular dan penga­kuan sendiri oleh akaun TikTok Perjuangan Santri @fansabahaos, mereka mengaku telah me­ngadakan program di kawasan Serendah.

“Kehadiran peserta dalam program tertutup tersebut membuktikan wujudnya kelompok pengikut yang aktif di Malaysia.

“Walaupun jumlah sebenar belum dapat dipastikan, kewujudan markas atau lokasi pertemuan sebegini adalah indikator bahawa dakyah mereka mula diterima oleh sekelompok masyarakat di negara kita,” katanya kepada Kosmo!.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak mempunyai sebarang kuasa atau autoriti untuk memfatwakan ajaran tersebut sebagai sesat.

“Itu adalah bidang kuasa mutlak pihak berautoriti se­perti Jawatankuasa Fatwa Negeri, Jabatan Mufti, atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Apa yang saya kongsikan adalah berdasarkan pemerhatian terhadap ciri-ciri yang jelas menjurus ke arah kesesatan dan menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Antaranya mensyaratkan pemakaian kopiah merah putih dan menghadirkan wajah guru dalam solat,” katanya.

Mengulas lanjut, Aizuddin berkata, pengikut ajaran itu mendakwa solat tidak sah tanpa kopiah dan perlu membayangkan wajah guru Abah Aos semasa solat.

Jelasnya, ciri-ciri tersebut sangat meragukan kerana dalam Islam, solat hanya untuk Allah, bukan guru.

“Selain itu, ajaran itu juga mendakwa Indonesia akan menjadi kiblat seluruh bangsa serta satu-satunya negara berketuhanan Yang Maha Esa di dunia.

“Pengakuan ini boleh dilihat secara terbuka di salah satu video akaun TikTok Perjuangan Santri (@fansabahaos). Kenya­taan ini sangat berbahaya dan bercanggah dengan fakta agama.

“Jika Indonesia satu-satunya negara berkat, di mana pula letaknya kemuliaan Mekah dan Madinah? Sedangkan dalam Al-Quran jelas menyebut tentang keberkatan Tanah Haram,” soalnya.

Tambah Aizuddin, pihaknya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai ajaran tersebut dan Seksyen Jenayah Khas, Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah pun menghubungi beliau.

“Mereka mengambil maklum tentang program yang diakui sendiri oleh akaun TikTok Perjuangan Santri (@fansabahaos) bahawa ia berlangsung di Serendah, Selangor.

“Saya juga menyeru orang ramai, sekiranya melihat sebarang aktiviti yang mencurigakan, contohnya kumpulan beramai-ramai memakai kopiah merah putih seperti ciri-ciri yang disebutkan, sila laporkan segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN