KLUANG – Seorang lelaki warga emas didenda RM40,000 oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki minyak diesel bersubsidi tanpa lesen, tiga tahun lalu.
Hakim Mujib Saroji membuat keputusan itu selepas tertuduh, Ravi Chandran, 60, selepas mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama setahun sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda tersebut.
Selain itu, hakim juga memerintahkan semua hasil jualan diesel sebanyak 10,998 liter bernilai RM23,865.66, selain sebuah lori dan sebuah treler tangki, dilucuthakkan serta dijadikan hasil kerajaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati berada dalam milikan barang kawalan berjadual iaitu diesel sebanyak 10,998 liter dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi pada 12 September 2023 ketika satu pemeriksaan dijalankan oleh Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor ke atas sebuah lori di sekitar kawasan Simpang Renggam, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama serta dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Hukuman boleh dikenakan mengikut Seksyen 22(1) Akta sama, iaitu denda maksimum RM100,000 dan/atau penjara sehingga 3 tahun (untuk kesalahan pertama) bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM250,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa KPDN, S. Loganathan sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Sharif Mohamed.-KOSMO! ONLINE














