ROMPIN – Tiga tokan dadah yang menjadikan ladang sawit sebagai pusat pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dan sebuah pondok di ladang kelapa sawit di Keratong, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam serbuan antara pukul 5.50 pagi hingga 6.15 pagi itu polis berjaya menahan tiga lelaki berumur 40 hingga 41 tahun di sebuah rumah di Felda Keratong 7 dan di ladang sawit Keratong 6, di sini.
“Semasa serbuan, kesemua suspek yang merupakan warganegara Malaysia berada dalam keadaan ‘lalok’ dan tidak sempat melarikan diri.
“Hasil tangkapan pihak polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 8.67 gram dan dadah jenis heroin seberat 18.56 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM2,000,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) dan Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penganggur menjadikan ladang sawit sebagai tempat untuk urusan pengedaran dadah.
Dalam pada itu katanya pihak polis akan terus komited memerangi dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah termasuk kesalahan berkaitan air ketum yang disenaraikan sebagai racun dan bahan psikotropik di sisi-sisi undang-undang,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE














