fbpx
Gambar hiasan.

Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 pacu reformasi sistem pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan menghamparkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 sebagai landasan utama kepada reformasi pendidikan negara yang lebih menyeluruh, berani dan berpaksikan jati diri nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi berkenaan menekankan pengukuhan asas kenegaraan dan pembinaan jati diri, di samping mempertingkatkan intervensi pendidikan pada peringkat awal usia kanak-kanak.

Menurut beliau, peranan guru turut dimartabatkan sebagai tunjang utama dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya tahan menghadapi perubahan masa depan.

“Rancangan ini bukan sekadar menyusun semula struktur, tetapi membina insan yang berakar pada nilai, yakin pada identiti serta cekal mendepani cabaran dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

Anwar berkata, RPN 2026–2035 turut memberi penekanan kepada pemerkasaan sistem pendidikan tinggi agar lebih terangkum dan adil, termasuk membuka akses lebih luas kepada pelajar miskin, pelajar berkeperluan khas serta bakat terbaik negara.

Jelas beliau, usaha tersebut selari dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan pendidikan negara.

“Dengan ilmu, adab dan ihsan, kita mahu melahirkan rakyat yang mampu mengangkat masa depan Malaysia ke tahap yang lebih gemilang,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pelaksanaan RPN 2026–2035 merupakan satu ikhtiar besar negara dalam membina masyarakat berpengetahuan tinggi, berintegriti dan berteraskan nilai murni demi kesejahteraan jangka panjang negara. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI