KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk membawa isu kecurian kabel kereta api ke Parlimen memandangkan penguatkuasaan boleh dilakukan oleh pihak polis di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani kawasan ‘hot spot’ yang dikenal pasti.
“Kita mempunyai undang-undang dan polis proaktif dalam menangani kes ini. Ia tidak melibatkan Parlimen kerana undang-undang yang ada akan dikuatkuasakan selain terdapat langkah mitigasi tambahan,” katanya pada sidang akhbar Perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2026 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Anthony dilaporkan berkata, insiden kecurian kabel di sepanjang rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad menyebabkan kelewatan masa operasi keseluruhan selama 562 jam bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) tahun ini, manakala 741 jam bagi KTM Komuter tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Anthony menjangkakan projek pemulihan Klang Valley Double Tracking (KVDT) dari Subang Jaya ke Klang dapat disiapkan dalam suku pertama tahun ini.
“Ini adalah projek pemulihan di bawah fasa kedua KVDT. Sudah tentu ia bukan keseluruhan kerana fasa penuh mengambil masa beberapa tahun sehingga Seremban,” katanya.
Tambahnya, langkah-langkah diambil bagi memastikan kerja pembinaan dijalankan dengan cepat dan tidak menjejaskan pengguna. – KOSMO! ONLINE














